Anggota kumpulan One Nation Emcees, Jojo atau nama lengkapnya, Nur Hasan Balas yang kini kerap terlibat dalam aktiviti keagamaan mengakui khilafnya sebagai seorang Muslim sebelum ini.

Jelas peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) ini, pada awal penglibatannya dalam seni, dia akui sering alpa dengan hal duniawi hingga membelakangkan soal agama.

“Dulu saya akui saya agak jahil mengenai agama, banyak benda yang saya tinggal dan hanya ingat soal dunia. Sehinggalah Allah turunkan hidayah saya belajar bahawa kalau nak kejarkan dunia, kita kena ada agama.

“Jadi bila saya berhijrah kira-kira dua tiga tahun lalu, saya cuba tingkatkan ilmu agama. Saya tidak pernah sembahyang… Tak pernah solat kira-kira 20 tahun lalu. Ketika kecil saya hanya Solat Jumaat sahaja.

“Bayangkan ketika itu, masjid di sebelah rumah pun saya tak nampak. Bila saya berhijrah, masyaAllah ada surau berdekatan dengan rumah. Bayangkan betapa gelapnya hati saya ketika itu,” katanya jujur kepada MH.

Bintang berusia 44 tahun ini juga menyifatkan keinginan untuk dirikan solat itu mulai timbul apabila terdetik di dalam hati apakah nikmatnya apabila mendirikan tiang agama itu.

“Jadi bila saya nak belajar, ketika itu saya terfikir apa rasanya bila orang solat. Orang kata bila solat itu lahirnya nikmat, saya mahu nikmati rasa itu. Pada awalnya saya nak belajar solat Subuh, saya belajar sendiri… Tengok Google dan saya berjaga dan tak tidur.

“Bermula dari Subuh saya ke masjid, kemudian dari situlah saya istiqamah selama dua minggu, tanpa henti dan tiba-tiba dia bagi saya hidayah untuk solat Isyak dan Marghrib di surau yang sama.

“Kemudian Allah bagi ilham lagi, rasa seronok dan saya belajar pula Asar dan Zuhur. Kalau dulu saya tidur sampai petang. Kali ini bila rasa nak belajar tu, saya cuba. Alang-alang saya cubalah sempurnakan lima waktu.

“Alhamdulillah pada masa dari situlah saya belajar solat sunat dan ada juga yang belajar ayat suci al-Quran,” katanya yang ada belajar agama dari pelajar Timur Tengah,” jelas Jojo yang turut menambah, mimpi yang dialaminya suatu ketika dahulu ibarat memberi signal buat dirinya.

Malah sehingga ke hari ini, ia kekal bermain-main di fikiran, yang sekali gus menggerakka hati untuk terus cuba menjadi Muslim yang lebih baik.

“Dulu saya pernah mimpi, tampil seorang individu yang wajahnya bercahaya dan dia beritahu namanya Muhammad. Saya tak berapa nampak akan raut wajahnya dan dia bawa satu ke sebuah perigi dan minta saya minum. Dia berikan saya bunga.

“Dalam pada itu, saya juga baca muqadam sehingga al-Quran, begitu lancar saya bacanya. Kemudian saya buka suatu pintu dan melihat langit yang luas, di sana saya nampak ramai lelaki yang berjubah putih dan mereka ajak saya solat.

“Kami ada rujuk ustaz dan katanya syaitan tidak akan menyerupai Nabi Muhammad,” katanya lagi.

Pada masa sama, Jojo kini turut sertai beberapa aktiviti dakwah bersama rakan artis lain bintang ini juga sebolehnya cuba terapkan dalam diri untuk tidak tinggalkan solat dan amal meski sibuk dalam hal duniawi selepas ini.

Ikuti temu bual penuhnya di sini;

Semoga perkongsian darinya dapat dimanfaatkan semua, insyaAllah…