Tahniah diucapkan buat isteri dan penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah yang selamat menimang cahaya mata sulung mereka kira-kira jam 5.35 petang Khamis.

Jamal seperti yang dipetik Harian Metro menzahirkan rasa syukur atas kelahiran bayi perempuan yang diberi nama Nur Azura Yamani itu.

“Alhamdulillah, ia adalah anugerah terindah daripada Allah SWT kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga,” katanya seperti yang dipetikk.

Bintang berusia 60 tahun ini memaklumkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, selamat melahirkan anak perempuan mereka itu secara pembedahan di pusat perubatan swasta di Shah Alam.

“Isteri dimasukkan ke wad bersalin semalam dan pada jam 5.35 petang tadi, pembedahan selamat dijalankan.

“Saya bersyukur isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami yang sihat, putih melepak dan seiras wajah saya,” jelasnya.

Nur Azura Yamani dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai keadaan si isteri, Jamal memberitahu, isterinya itu akan ditahan selama beberapa hari di wad sebelum dibenarkan pulang.

“Maklumlah, isteri melahirkan anak secara pembedahan dan doktor mahu memastikan keadaannya okey dulu sebelum pulang ke rumah.

“Isteri juga akan menjalani tempoh berpantang di kediaman kami di Shah Alam selepas keluar dari wad nanti,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Penyanyi yang baru sahaja muncul menerusi single baru, Belenggu Rindu di samping Wany Hasrita sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali, iaitu bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi ia berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Sumber/Foto: Harian Metro/Carian Google